Utusan
Malaysia, 11 November 2008
Shazryn Mohd Faizal
Walaupun sudah 35 tahun,
Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P.Ramlee
meninggalkan kita, namun semangat menerusi
lagu dan filemnya masih bugar dalam
diri kita yang terus menghargai warisan
peninggalannya.
Begitu juga dengan usaha yang dilakukan
oleh segelintir anak seni generasi muda
yang mahu karya seniman terbilang itu
terus hidup subur.
Tidak perlu mengenang P.Ramlee pada
tarikh kelahiran mahupun pemergiannya,
sekalung tahniah harus diberikan kepada
stesen berbayar terulung negara, Astro
yang mahu terusn karya P.Ramlee dihargai.
Tidak setakat menayangkan filem-filem
popularnya di Prima (saluran 105, Astro)
tetapi dengan kerjasama syarikat Trinini
Media Sdn. Bhd., Astro kini memperkenalkan
slot Inspirasi P.Ramlee yang
telah pun bermula pada 2 November lalu
bermula pukul 10 malam.
Menampilkan kelainan yang berbeza apa
yang dilakukan sebelum ini, slot berkenaan
akan menayangkan lima buah telemovie
yang diinspirasikan daripada filem-filem
P.Ramlee dan dibikin dalam versi baru
dengan sentuhan pengarah muda lagi berkaliber.
Penerbit Trinini Media Sdn. Bhd., Adlin
Aman Ramlie menjelaskan, idea untuk
menzahirkan slot berkenaan tercetus
berdasarkan daripada sambutan yang tidak
pernah pudar menerusi tayangan filem
P.Ramlee di saluran Prima.
Rentetan itu, Astro telah menghubunginya
untuk menawarkan projek berkenaan dan
tanpa berfikir panjang, aktivis teater
ini menyahut cabaran yang diberikan
oleh pihak Astro.
"Untuk permulaan, syarikat saya
hanya akan menerbitkan lima buah telemovie
sahaja dan jika sambutan yang diberikan
cukup menggalakkan, saya rasa tidak
salah untuk meneruskan lagi projek ini,"
katanya pada sidang media baru-baru
ini.
Turut hadir pada sidang media tersebut
adalah Pengurus Saluran Astro Prima,
Khairul Anwar Salleh.
Ujar Adlin lagi, pihaknya tidak gusar
seandainya menerima kritikan daripada
peminat seniman itu menerusi hasil karya
yang ditayangkan kelak kerana apa yang
dilakukan adalah salah satu cara untuk
terus menghargai P.Ramlee.
"Satu soalan sahaja yang saya akan
tanya kepada pengarah yang terlibat
iaitu apa yang dia mahu lakukan apabila
melibatkan P.Ramlee.
"Rata-rata memberikan jawapan yang
pelbagai dan mempunyai pandangan yang
berbeza untuk mengangkat karya P.Ramlee.
Apa yang kami tampilkan ini bukanlah
pembikinan semula semata-mata tetapi
untuk melihat bagaimana idea baru dikembangkan
untuk meneruskan kesinambungan dunia
P.Ramlee itu,"jelasnya panjang
lebar.
Menariknya juga slot ini, kata anak
kepada pelakon veteran Ruminah Sidek
ini, setiap pengarah mempersembahkan
pendekatan yang berbeza menerusi idea
masing-masing.
"Dengan itu, penonton dapat lihat
kepelbagaian yang ditampilkan dalam
setiap telemovie yang akan ditayangkan
kelak,"jelasnya.
Pada 2 November lalu, telemovie Babak
Empat Madu Tiga yang diarahkan
sendiri oleh Adlin telah pun ditayangkan
dan mendapat respons yang cukup baik
dari kalangan audiens yang ternyata
menerima percikan idea baru dalam menyambung
legasi P.Ramlee.
Apatah lagi dengan barisan pelakon yang
cukup mantap dengan menyaksikan Afdlin
Shauki sebagai teraju utama di samping
Rosnah Mat Aris, Aida Aris, Emelda Rosmila,
Pi'e dan Rosdeen Suboh.
Selain daripada Adlin sendiri yang bertindak
sebagai penagarah untuk telemovie bekenaan
dan juga Sonata Labu Labi yang
akan ditayangkan pada 30 November ini,
tiga orang pengarah lain yang turut
terlibat adalah Afdlin Shauki yang mengarahkan
drama Orang Minyak Naik Minyak
yang telah pun menemui penonton pada
9 November lalu.
Bukan itu sahaja, pengarah lain yang
terlibat adalah pengarah berkaliber,
Adman Salleh yang mengarahkan drama
Misteri Penarek Becha dan Dain
Iskandar Said serta Al-Jeffry menerusi
drama Senandung Malam.
Adlin menjelaskan, kesemua pengarah
yang terlibat mempunyai idea yang berlainan
tentang apa yang mereka mahu lakukan
dan dengan itu, dia begitu berbangga
kerana dapat bekerjasama dengan mereka
yang ternyata begitu konsisten dalam
setiap kerja mereka.
"Jujurnya, sewaktu saya memulakan
projek ini, ramai pengarah yang menyatakan
minat mereka untuk terlibat tetapi sebagai
permulaan, biarlah hanya empat pengarah
ini sahaja. Mana tahu, kalau slot ini
diteruskan, dapat juga bekerjasama dengan
pengarah yang lain pula," jelasnya.